::dhuha::

assalamualikum.. 

dalam kelapangan nie.. tetiba aku rasa nak berkongsi sedikit dengan korang berkaitan doa dhuha.. sebab semalam dalam perjalananan aku ke stesen bas.. balik upm.. ayah aku buka radio ikim.. aku terdengar satu doa.. aku tak perasan lagi sebelum tue.. lepas dengar dengar betul2 doa tue.. air mata aku menitis ditambahkan bila dibacakan maksud doa tue sekali.. subahanallah.. menyebabkan aku nak tahu dengan lebih dalam lagi.. 

nie aku kongsikan dengan korang semua skali...

 


TAFSIR DHUHA

وَالضُّحَى (1) وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى (2) مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى (3) وَلَلْآَخِرَةُ خَيْرٌ لَكَ مِنَ الْأُولَى (4) وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى (5) أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآَوَى (6) وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَى (7) وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَى (8) فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ (9) وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ (10) وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ (11
1. Demi waktu dhuha,
2. Dan malam apabila ia sunyi-sepi -
3. (bahawa) Tuhanmu (Wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana Yang dituduh oleh kaum musyrik).
4. Dan Sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
5. Dan Sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga Engkau reda - berpuas hati.
6. Bukankah Dia mendapati Engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
7. Dan didapatinya Engkau mencari-cari (jalan Yang benar), lalu ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?
8. Dan didapatinya Engkau miskin, lalu ia memberikan kekayaan?
9. Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah Engkau berlaku kasar terhadapnya,
10. Adapun orang Yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah Engkau tengking herdik;
11. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah Engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.


وَالضُّحَى (1) وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى (2)1. Demi waktu dhuha,” “2. Dan malam apabila ia sunyi-sepi –..”


DUA YANG KONTRADIK;
Al-Dhuhadan al-Layl adalah dua situasi yang amat kontradik. Namun Allah SWT gandingkan kedua-duanya di dalam sumpahNya di awal surah ini dengan tujuan. Demikianlah setiap susunan ayat dan huruf kalam Allah ini penuh hikmah. Ciri sinar mentari yang redup, hawa yang tenang yang tidak terlalu sejuk mahupun panas, angin pagi yang kadang-kala berdesir mengasyikkan lagi maknaal-Dhuha”. Demikianlah maksud al-Dhuha”. Allah lalu menggandingkannya dengan al-Layl yang amat ketara lawannya. Sunyi sepi, gelap gelita, dan kejahatan mulai mengambil tempat, adalah situasi al-Layl yang diterjemahkan “malam”. Justeru apakah signifikannya gandingan yang kontra itu? Perhatikan plot yang seterusnya. Allah berfirman lagi;

مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى (3)
3. “(bahawa) Tuhanmu (Wahai Muhammad) tidak (pernah) meninggalkanmu, dan ia tidak (pernah) benci (kepadamu, sebagaimana Yang dituduh oleh kaum musyrik).”

Menurut para mufassir, surah ini turun berikutan terhentinya wahyu dari Allah dalam tempoh yang agak lama. Apa lagi yang menggusarkan baginda SAW selain itu. Baginda justeru diejek oleh pada musyrikin; “Muhammad sudah dimurkai dan ditinggalkan tuhannya..”. Demikian semakin gelisahlah Rasulullah SAW dengan ejekkan itu. Wahyu yang sebelum itu menjadi panduan seluruh mukmin, penguat hati dan jiwa, tiba-tiba “sepi tanpa berita”. Baginda yang sebelum itu, dijawab segala permintaannya, dilindungi dari sebarang musibah dan helah, tiba-tiba berdepan mehnah yang jarang berlaku, “Muhammad sudah ditinggalkan oleh Allah..”. Itulah ungkapan yang sangat mengguris dan menyedihkan hati, yang siang dan malam tengiang-ngiang ditelinga baginda. Setelah lama menanti penuh harapan turunlah firman Allah;
“1. Demi waktu dhuha (yang sinarnya mengasyikkan),2. Dan malam apabila ia sunyi-sepi -3. (bahawa) Tuhanmu (Wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana Yang dituduh oleh kaum musyrik).”

Demikianlah firman Allah penuh hikmah. Dua kalimah qasam (sumpah) itu amat tepat dengan isu yang didepani Muhammad. Jelas Muhammad tidak pernah ditinggalkan Allah. Jauh sekali dimurkaiNya. Muhammad SAW rupa-rupanya sekali lagi ditarbiyah Allah tentang hakikat kehidupan dunia; bahawa silih ganti susah dan senang, rahmat dan bala’ adalah ramuan rasmi kehidupan dunia. Jauh berbeza berbanding sejahtera negeri “firdaus” yang penuh nikmat dan kesenangan. Demikianlah sebagaimana ketaranya perbezaan “al-Dhuha” dan “al-Layl”, begitulah juga kontranya susah dan senang, gawat dan tenang, mehnah dan hani`ah (tenang). Pengajaran yang sungguh bermakna!. “Benar sungguh kalimah Allah! Aku mungkin terlupa bahawa kakiku sedang berpijak di suatu sudut kehidupan yang nama ‘dunia’”. Mungkin itulah yang terdetik di hati Muhammad. Justeru kenapa masih ada manusia yang masih menggunakan kalimah “frust...”, “Alaaahh..”,”Aduuh..” ketika berhadapan musibah? Apakah mereka tidak memerhati sunah alam; siang dan malam, gelap dan terang, susah dan senang? Bukankah kesemuanya sering kali silih berganti sebagai melengkapi makna sebuah kehidupan? Nabi SAW juga pernah berpesan;

Demi Yang nyawaku di tangannya, tidaklah seorang mukmin yang dilanda kepayahan, kesusahan, kepenatan, sakit yang berpanjangan, mahupun kesedihan,- sehinggakan sebilah duri yang menyakitinya pun-, melainkan Allah akan menghapuskan segala kesalahannya [dosanya]” (Diriwayatkan Oleh al-Tirmidhi).

Demikian cara Islam melatih mentaliti umatnya. Bagaimana menguruskan emosi dan perasaan bila berhadapan dengan dugaan dan ujian hidup. Jika diperhalusi hadith di atas, nabi mengajar manusia bagaimana manusia melatih persepsinya terhadap musibah yang melanda. Contoh-contoh kepayahan, kesusahan, kepenatan, sakit yang berpanjangan, kesedihan adalah ibarat lorong utama dalam perjalanan kehidupan. Bukanlah manusia jika dia tidak melangkah dilorong ini. Allah melalui nabiNya SAW justeru mengajak seluruh orang mukmin memandang mehnah (ujian) ini sebagai “kaffarah” atau penghapus dosa yang lalu. Ia sebahagian dari rahmat Allah bagi membebaskan manusia dari runtunan dosa di akhirat kelak, apabila kesemuanya telah lenyap dengan sifat sabar yang dialaskan insan itu bagi mendepani musibah berkenaan.
Jesteru amat rasionallah sumpah Allah pada permulaan surah ini yang menggandingkan dua situasi yang amat ketara bezanya dengan tujuan dan maksud yang cukup mendalam. Sunnah alam bila adanya terang pasti adanya gelap, panas pasangnya hujan, susah lawannya senang! Demikian juga kebijaksanaan Allah memanfaatkan perilaku alam, bagi mendidik nurani manusia tentang hakikat kehidupan dengan ‘nilai sejagat’ yang seluruh manusia pasti memahaminya.

BERAKIT KE HULU...
Muhammad dan umatnya sekali lagi diasuh oleh tuhan bahawa “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya” dan “bersenang-senang kemudian” mesti di dahului “berakit-rakit ke hulu...”. Demikianlah intipati firman Allah seterusnya;

وَلَلْآَخِرَةُ خَيْرٌ لَكَ مِنَ الْأُولَى (4)
وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى (5)

4. Dan Sesungguhnya kesudahan (akhirat) keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya (dunia).
5. Dan Sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga Engkau reda - berpuas hati.

Isu Muhammad dan pengikutnya dicaci, diejak, dituduh, disakiti adalah pada period awal perkembangan Islam. Namun kemuncak nikmat Allah kepada penganut Islam hanya jelas setelah ruh al-Quran itu diimani oleh manusia seluruh pelusuk malam. Keadilan memenuhi dunia, negara, bangsa, kaum dan etnik. Namun perjalanan ke arah itu penuh berliku dan mehnah. Islam di zaman awal ini terpaksa dibeli dengan darah! Dua ayat di atas mengajar manusia bahawa tidak ada “shortcut” bagi meraih kesenangan. Islam dijunjung, nabi di sanjung, seorang Muslim bangga dan aman dengan Islamnya adalah setelah Bilal di siksa penuh kepedihan, Sumayyah di bunuh tanpa belas kasihan, Umar, Uthman dan Ali syahid di jalan tuhan. Demikian sekilas laluan sirah manusia-manusia hebat ini. Pokoknya, laluan bagi meraih kesenangan bukanlah senang atau “bahasa kampungnya” bukan senang nak jadi senang! Atau tafsiran yang kedua menyebutnya “akhirat itu labih baik bagimu berbanding dunia”. Itu tidak disangkal lagi. Tetapi Allah sebenarnya mahu menunjukkan formula yang lebih unggul untuk tujuan itu. Bagaimana untuk mengharungi segala kepayahan itu?. FirmanNya;

“Dan Sesungguhnya kesudahan (akhirat) keaadaanmu adalah lebih baik...”

“Keyword” dari ayat di atas ialah dan “akhirat”. Itulah dia formulanya. Bagaimana Rasulullah dan para sahabat berupaya dan berjaya mengharungi kesulitan itu? Jawapannya ialah kerana segala usaha, mujahadah dan keringat yang ditaburkan bukan untuk dunia, tetapi akhirat, atau lillahi Taala, atau ibtigha mardhatillah, atau ibtigha wajhik, atau namakan apa sahaja yang semaksud dengannya. Inilah dia simboliknya doa yang diajarkan baginda SAW;

اللهم إني أَعوذُ برضاكَ من سَخَطِكَ وبمُعافاتِكَ من عُقوبَتِكَ وأَعوذُ بك منك لا أُحْصي ثَناءً عليك أَنت كما أَثْنَيْتَ على نفسك 
Ertinya; “Wahai tuhan, sesungguhnya berlindung dengan redhaMu dari kemurkaanMu, dengan keampunanMu dari siksaanMu, Aku juga berlindung dengan DiriMu [bahawa] aku tidak [mampu] memujiMu dengan selayaknya sebagaimana Engkau memuji diriMu sendiri..”

Di sebalik kalimah-kalimah ini rupa-rupanya ada kekuatan yang Maha Ampuh yang bagi menghadapi apa jua bentuk dugaan. Sebutkan apa sahaja ujian dan mehnah di dunia ini, kata pepatah Melayu; “Membujur lalu melintang patah!”. Manusia ini tidak lagi menjadikan matlamat dunia sebagai sasarannya. Jika yang baik diperoleh di dunia, dia bersyukur. Namun jika sebaliknya,sifat redha adalah pengganti yang terbaik kerana anugerah Allah di akhirat lebih baik berbanding yang dunia. Justeru apa yang tersirat sebenarnya ialah; “kamu wahai manusia sepatutnya bukan berjuang untuk kesenangan, kekayaan mahupun kemasyhuran. Kamu sepatutnya berjuang mendapat status “redha” Allah”!”. Kerana manusia yang berjuang -lillahi Taala-lah mereka tidak pernah hirau kalaupun permulaan penuh cabaran dan dugaan. Yang ditagih oleh mereka ini ialah keredhaan Allah sehingga Allah pula meletakkan perasaan redha itu di dalam hati mereka. Usaha ini biarpun susah, sulit, dirasakan senang, dan tenang bagi mereka. Hadith di bawah memberikan gambaran yang lebih praktikal terhadap pandangan mukmin kepada “dunia”.

ابن مسعود-قال: اضطجع رسول الله صلى الله عليه وسلم على حصير، فأثر في جنبه، فلما استيقظ جعلت أمسح جنبه وقلت: يا رسول الله، ألا آذنتنا حتى نبسط لك على الحصير شيئا؟ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "ما لي وللدنيا؟! ما أنا والدنيا؟! إنما مثلي ومثل الدنيا كراكب ظَلّ تحت شجرة، ثم راح وتركتها (3) .
Ertinya;
“Daripada Ibn Mas‘ud katanya; “Rasulullah SAW pernah berbaring di atas [anyaman] daun tamar sehingga belakangnya berbekas. Apabila baginda bangun, aku [dan melihat kesan itu], lalu aku pun menyentuh belakangnya dan aku berkata; “Mahukah kamu izinkan kami hamparkan di atas anyaman ini sesuatu [yang lebih lembut]” Jawab baginda; “Apalah ada pada dunia bagiku? Apalah ada padaku untuk dunia!” Sesungguhnya aku dan dunia ini ibarat seorang pengembara yang berteduh di bawah sepohon pokok. Kemudian setelah berehat seketika, aku akan meninggalkannya...”
(Diriwayatkan Oleh Ahmad)

Hadith ini menggambarkan bagaimana nabi SAW memberikan gambaran baginda terhadap dunia, kesan mentaliti “mengejar redha Allah dan akhirat” itu kepada jiwa dan peribadi baginda SAW. Sebagai seorang nabi baginda mengajarkan bahawa kehidupan dunia ini terlalu “sempit”, “pantas”, dan hanya bersifat “transit” sahaja. Mentaliti ini ternyata telah merubah sempadan hidup baginda daripada terhalang dengan tembok dunia, bagi mencapai bahagia akhirat. Mentaliti ini juga adalah motivator ketika baginda dicaci, dihina, dituduh. Ia juga ibarat perisai ketika ditentang, diperangi, di sakiti. Ia juga umpama modal membina jiwa, keluarga, masyarakat dan negara. Sehinggalah kemuncaknya Islam mampu menewaskan Rom dan Parsi, menguasai dua pertiga benua dunia, kerana pimpinan seorang lelaki yang tidurnya hanya beralaskan tikar anyam!. Muhammad tidak pernah mengabaikan dunia. Tetapi baginda mampu “menguasai” dunia, bukan sebaliknya. Inilah gambaran saidina Abu Bakr al-Siddiq;

“Letakkan dunia ditanganmu, jangan biarkan masuk di hatimu..”.

Dengan cara memahami dunia sebagai persinggahan, meletakkan akhirat atau redha Allah sebagai matlamat utama, ternyata merupakan formula terbaik bagi mengharungi ujian getir kehidupan sehinggalah Allah menuturkan firmannya kepada Muhammad;

وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى (5)5. Dan Sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga Engkau reda - berpuas hati. 


 

Comments

Popular posts from this blog

Kinohimitsu review..

Master by RESEARCH...

Andai esok aku tiada..